Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebanyak 79 acara perniagaan dijalankan pada separuh tahun kedua 2022 termasuk Minggu Acara Perniagaan Malaysia di sini dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC 2022) di Sabah.
Selain itu, beliau berkata kehadiran pelancong yang meningkat dengan ketara dari India dan Brunei, turut dilihat membantu merangsang sektor pelancongan negara.
“Kami optimis dan yakin untuk mencapai sasaran ini. Sebagai contoh, bulan ini sahaja Malaysia akan menerima kira-kira 500 pelancong dari India,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Nancy menyaksikan Memorandum Kolaborasi (MOC) ditandatangani antara Tourism Malaysia dengan Qatar Airways, dengan objektif utama untuk meluaskan rangkaian perhubungan dan memperkasa kerjasama strategik antara kedua-dua pihak itu.
Sementara itu, Nancy berkata Malaysia menantikan pembukaan semula sempadan China Oktober ini, memandangkan negara itu merupakan penyumbang pelancong antarabangsa terbesar di Malaysia setakat ini.
Beliau berkata kementeriannya optimis dapat mencapai bilangan pelancong lebih tinggi terutama dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) negara, yang menjadikan Malaysia salah satu negara paling mudah dikunjungi pelancong.
Nancy berkata negara telah melepasi sasaran awal dua juta kedatangan pelancong antarabangsa sejak sempadan dibuka April lepas dengan resit pelancongan RM8.6 bilion.
Justeru, beliau berkata pihak kementerian menyemak semula sasaran tersebut dan kini menetapkan sasaran baharu iaitu 9.2 juta pelancong antarabangsa tahun ini.
Mengenai MOC dengan Qatar Airways, Nancy berkata kerjasama itu bertujuan menguatkan lagi tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang digemari dalam kalangan pelancong Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat.
“Saya percaya kolaborasi promosi ini akan menyumbang kepada peningkatan aliran trafik udara, dari pasaran jarak sederhana dan jarak jauh ke Malaysia, di samping menyediakan pengalaman lima bintang kepada pelancong yang memilih Malaysia sebagai destinasi, menerusi perkhidmatan yang ditawarkan Qatar Airways, “ tambahnya.
MOC tersebut ditandatangani Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengurus Negara Qatar Airways Datuk Muzammil Mohamad. -TVS