MIRI, 31 Ogos : Seorang penunggang motosikal maut selepas kenderaannya diseret oleh sebuah kereta pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Batu 1, Kuala Baram dekat sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 7.48 malam itu menyebabkan lelaki berusia 27 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian malah lebih tragis, motosikalnya turut hangus terbakar.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 69 tahun cuba masuk ke simpang menghala ke Senadin.
“Setibanya di lokasi, berlaku pertembungan dengan motosikal yang datang dari arah Kuala Baram-Lutong,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Alexson Naga, petugas kesihatan dari Hospital Umum Miri yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia pada pukul 7.51 malam.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS