KUCHING, 31 Ogos : Pada tahun lepas, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan Gerakan #SayaDigital.
Agensi peneraju ekonomi digital negara itu melancarkan inisiatif berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia bagi merebut peluang dalam ekonomi digital.
Program itu mendapat sokongan padu Jabatan Perdana Menteri, KKMM, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Pusat Internet Komuniti dan Desa.
Menurut agensi itu, fokus diberikan kepada empat tema utama iaitu Digital Memudahkan Kehidupan, Digital Menambah Pendapatan, Digital Memperkasa Kerjaya dan Digital Meluaskan Perniagaan.
“Program yang dirangka adalah menyasarkan penglibatan golongan B40, belia dan warga emas. Sebelum itu, tiga program rintis fizikal telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran celik digital yang melibatkan penyertaan seramai 301 peserta termasuk di kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Desa Temuan di Bukit Lanjan.
“Mereka menghadiri bengkel interaktif yang mendedahkan peserta dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dalam normal baharu,” jelas MDEC menerusi kenyataan media ketika program berkenaan dilancarkan.
Gerakan #SayaDigital juga memberi fokus kepada empat komponen iaitu melatih anak muda menjadi sukarelawan Geng #SayaDigital, mewujudkan kesedaran melalui aktiviti literasi digital, menjalankan penilaian kesediaan digital dan memberi latihan kemahiran asas digital kepada komuniti.
Seramai 25 orang Geng #SayaDigital telah dilantik bagi melatih peserta-peserta dengan kemahiran asas digital. Gerakan #SayaDigital telah bergerak ke seluruh negara.
Kempen berkenaan secara keseluruhan menyasarkan untuk memanfaatkan 10,000 rakyat di kawasan sosio ekonomi rentan di seluruh negara.
Sementara itu, peserta yang telah berdaftar secara dalam talian telah dihubungkan dengan program -program utama MDEC seperti eUsahawan, PeDAS, eRezeki, MyDigitalMaker, GLOW dan eBerkat.
Secara keseluruhannya, program-program kendalian MDEC ini telah memanfaatkan Malaysia menerusi pemantapan kemahiran digital, perniagaan dipacu secara digital, penglibatan di sektor edagang dan penyertaan tenaga kerja di platform digital global, kata MDEC.
Kempen #SayaDigital telah dimulakan pada 2020 juga merupakan usaha MDEC untuk membantu rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan untuk meningkatkan langkah pendigitalan bagi mengurangkan impak sosioekonomi akibat pandemik.
Melalui kempen itu, MDEC telah memperkenalkan beberapa usaha seperti Sidang Kemuncak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Mikro, #YoungCreators, Minggu #MYDigitalWorkforce dan Ekspo Gig and Freelance (GFX) sebagai langkah membina kapasiti bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran masing-masing serta untuk individu muda yang baru memasuki alam pekerjaan.
Dengan memanfaatkan rangkaian pakar dan syarikat antarabangsa MDEC yang luas termasuk Alibaba, Google, Tencent, Exabytes, Maxis dan Digi, para peserta berpeluang mendapat nasihat dan alat yang terbaik daripada peneraju industri terkemuka untuk membantu mereka dalam meneroka perjalanan digital masing-masing,kata MDEC lagi. -TVS