Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Betong, hari ini. Foto Zaim Zharfan (TVS)

BIDA diyakini mampu percepatkan pembangunan Betong – Abang Johari

ByNazirah Adlina

BETONG, 31 Ogos : Langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) merupakan pendekatan untuk mempercepatkan pembangunan kawasan ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, BIDA akan memainkan peranan sama seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) , Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) untuk memastikan pembangunan di kawasan-kawasan berkenaan diselaraskan dengan lebih berkesan terutamanya aspek infrastruktur.

Kata beliau, di sebalik pembangunan termasuk jaringan jalan raya agak meluas, penubuhan beberapa institusi pendidikan dan latihan di Betong,  potensi pertanian yang terus diberi tumpuan, semua itu masih belum mencukupi.

Pembangunan Betong diperhebat menerusi BIDA.

“Pembangunan di sini akan terus dipertingkatkan menerusi BIDA yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah.

“Saya amat yakin dengan beroperasinya BIDA nanti di bawah kepimpinan Datuk Amar Douglas Uggah yang sentiasa bekerja keras, kawasan Betong akan membangun dengan lebih pesat lagi dan bergerak maju seiring dengan kawasan-kawasan lain di Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Betong di sini hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada masyarakat di Betong yang diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak pada tahun ini.

“Terima kasih kepada Ketua-Ketua Masyarakat serta semua yang hadir memeriahkan acara pada pagi ini,” katanya.

Abang Johari turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tun Taib dan Toh Puan yang menghadiri majlis berkenaan.

“Kesudian Tun Pehin Sri dan Toh Puan Datuk Patinggi hadir bersama rakyat pada majlis ini besar pengertiannya dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang boleh menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya Abang Johari. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan