KUCHING, 31 Ogos : Penyaluran berita terkini dengan pantas kepada penonton semestinya menjadi objektif utama sesebuah agensi berita.
Tidak terkecuali bagi Bernama TV yang turut menetapkan misi sama namun dalam dunia hari ini yang mana berita palsu mudah tersebar luas, stesen berkenaan menyedari sangat penting untuk memastikan kesahihan berita sebelum disiarkan.
Bernama TV yang merupakan unit penyiaran di bawah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah memainkan peranan penting sebagai saluran penyampaian maklumat tepat bagi pihak kerajaan.
Saluran yang dirasmikan pada 2008 ini beroperasi 24 jam menawarkan liputan berita dan temu bual eksklusif, bual bicara isu-isu semasa serta liputan langsung.
Tidak mahu ketinggalan dengan peredaran teknologi, Bernama TV yang juga boleh ditonton menerusi Astro 502, UnifiTV dan myFreeview Saluran 121 dengan mengorak langkah ke platform digital.Â
Hal ini bagi meningkatkan capaian beritanya kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada golongan muda yang cenderung memilih media sosial sebagai platform berita.
Kini, Bernama TV juga aktif di platform utama media sosial dan telah mempunyai seramai 699,107 pengikut di Facebook.
Bernama TV turut serta di Twitter dengan mengumpul seramai 222,537 pengikut sementara di TikTok, akaunnya diikuti oleh seramai 264,200 orang dan meraih dua juta tanda suka.
Instagramnya juga tidak kurang hebat apabila mempunyai lebih 100 000 pengikut yang ingin mengetahui kemas kini semasa oleh Bernama TV.
Kemunculan media baharu yang ada kalanya menimbulkan tanda tanya mengenai kesahihan maklumat, agensi ini tekad menjadi rujukan dan media pilihan utama yang diyakini ramai. – TVS