KUCHING, 30 Ogos : “Saya di sini hanya untuk menyempurnakan apa yang telah mendiang mulakan”.
Demikian luahan Agung Saputra, 34, abang kepada mendiang Adrian Prakasa, 22, yang merupakan antara graduan tercalon menghadiri Majlis Graduasi Swinburne edisi Ogos 2022, hari ini.
Meskipun datang dari Jakarta, Indonesia, Agung tetap bersemangat mewakili mendiang adiknya mendapatkan segulung ijazah di atas pentas.
“Saya sangat berbangga atas pencapaiannya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Agung berkata adiknya telah meninggal dunia pada Januari tahun ini namun enggan mengulas apa yang terjadi kepada adiknya.
“Dalam adik beradik, hanya ada kami berdua. Namun, setelah Adrian ‘pergi’, kini hanya tinggal saya sendiri,” ujarnya lagi.
Adrian Prakasa, 22, merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Robotik dan Mekatronik), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.
Pada majlis tersebut, ayah dan abang mendiang Adrian telah datang ke Sarawak untuk menghadiri Majlis Graduasi Swinburne edisi Ogos 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Agung pada masa sama memberitahu, dia dan ayahnya bercadang untuk meluangkan masa bercuti di Sarawak buat seketika.
“Kami bercadang untuk tinggal lama sedikit dan pulang ke Jakarta pada 1 September nanti,” jelasnya.
Seramai 416 graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak menerima skroll pada Majlis Graduasi Swimburne edisi Ogos 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pagi Selasa.
Majlis disempurnakan Premier Sarawak merangkap Pro Canselor Universiti Teknologi Swimburne Kampus Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis graduasi berkenaan adalah bagi pelajar yang tamat pengajian tahun 2020 dan 2021. -TVS