KUCHING, 27 Ogos: Persatuan Perabot Muar (MFA), Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah mengadakan perbincangan khusus mengenai pelaburan dalam Taman Perabot Sarawak.
Menurut Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet, kolaborasi tersebut bertujuan untuk melihat bagaimana MFA dapat membantu dengan membesarkan serta memperluaskan operasi mereka ke Sarawak.
Ia juga bertujuan untuk membantu pihak PUSAKA meningkatkan pengeluaran perabot bagi pasaran eksport.
“Pada masa kini, pasaran dunia bagi industri perabot dianggarkan berjumlah AS$500 bilion berbanding eksport perabot dari Malaysia yang hanya RM13 bilion, dan pihak industri perabot di Muar menyumbang sebanyak RM7 bilion dari segi nilai eksport perabot.
“Sarawak mengeksport kurang daripada RM100 juta. Bagaimanapun, kita melihat peluang yang sangat besar untuk kita mengembangkan industri perabot di Sarawak, sangat besar,” katanya.
Hashim berkata demikian pada sidang media bersama antara MFA, SFIA, dan PUSAKA di sini semalam.
Dua taman perabot berkenaan akan dibina di Demak Laut, Kuching, dalam kawasan seluas 96 hektar, dan Tanjung Manis (50 hektar).
Dalam pada itu, PUSAKA juga mensasarkan untuk mengeksport 60 peratus perabot keluaran Sarawak ke pasaran Amerika Syarikat.
“Kita mempunyai bekalan bahan mentah yang banyak, yang belum diguna sepenuhnya, khususnya spesies kayu yang kita tanam di dalam ladang hutan berlesen kita, seperti akasia dan juga ‘eucalyptus’, dan pihak industri di Muar menggunakan banyak kayu getah sebagai bahan mentah untuk membuat perabot yang mereka eksport ke luar negara.
“Dan kita mempunyai infrastruktur sedia ada yang dapat menyokong pelaburan perabot ini di Sarawak,” ujarnya.
MFA merupakan pengeluar perabot terbesar di Malaysia. – TVS