Selaras dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang dijangka dilancarkan Oktober ini, beliau berkata Malaysia sedia belajar dari Thailand yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri pertahanan.
Beliau memberi contoh Malaysia boleh belajar daripada Defence Technology Institute (DTI), sebuah sayap khas di bawah Kementerian Pertahanan Thailand yang terlibat dalam usaha membangunkan produk pertahanan.
“Kita boleh belajar daripada DTI yang bekerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan produk pertahanan yang boleh digunakan agensi-agensi keselamatan dalam negara di samping itu ia boleh dieskport ke negara-negara ASEAN dan lain.
“Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia dan Thailand boleh bekerjasama dalam beberapa bidang dalam industri pertahanan termasuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), industri drone dan persenjataan,” katanya kepada Bernama.
Muez yang kini dalam lawatan kerjanya ke Bangkok, Thailand telah membuat kunjungan hormat terhadap Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Thailand Jen Worakiat Rattananont selain Pengerusi Lembaga Pengarah DTI Jen Porpol Maneerin dan juga Ketua Pengarah DTI Jen Choochart Buakhao.
Selain itu, Muez juga melawat kilang Chaiseri Defense Co Ltd, sebuah syarikat pertahanan swasta yang dikawal selia Kementerian Pertahanan Thailand yang menghasilkan kenderaan ketenteraan (military vehicle) dan dieskport ke sekurang-sekurang 44 negara setakat ini.
Beliau berkata Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan syarikat pertahanan swasta itu yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang pertahanan.
Muez turut mengadakan perbincangan dengan Worakiat berhubung Rondaan Selat Melaka (Malacca Straits Patrol – MSP) melibatkan empat negara – Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Saya telah menghantar satu surat kepada Worakiat bahawa kita akan menyediakan terma-terma rujukan bagi MSP.
“Selain itu, satu tarikh akan dimuktamadkan agar menteri pertahanan keempat-empat negara itu bermesyuarat,” katanya. -TVS