PUTRAJAYA, 29 Ogos : Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Okt bagi pengurusan kes selanjutnya dalam rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Peguam Harvinderjit Singh, seorang daripada peguam yang mewakili Sam, apabila dihubungi berkata tarikh baharu itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz hari ini.
Tarikh baharu itu ditetapkan kerana rekod rayuan belum siap, kata peguam itu.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Kes lapan penunggang basikal lajak maut: Kerani dipenjara enam tahun, denda RM6,000
- 2. Video tular tunggang basikal lajak secara berbahaya video lama – polis
- 3. Nahas basikal lajak boleh berulang, kerajaan larang penggunaan kenderaan mikromobiliti
Pada 28 Okt 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan Sam tanpa memerintahkan membela diri terhadap pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017.
Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret dan mengarahkan Sam untuk membela diri bagi pertuduhan tersebut.
Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019, sekali lagi melepas dan membebaskan Sam di akhir kes pembelaan, menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua ke Mahkamah Tinggi.
Pada 13 April tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.
Sam mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas untuk merayu terhadap sabitan dan hukumannya.
Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan Sam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.-TVS