KUCHING, 28 Ogos : Mampu utuh berdiri sehingga ke hari ini cukup membuktikan kehebatan ‘jenama’ rock tanah air, Wings.
Ditubuhkan sejak 1984, Wings yang kini dianggotai Dato’ Awie selaku vokalis, Syam dan Edrie Hashim (pemain gitar), Eddie (pemain bass) serta Black (pemain dram) juga masih gah dan bertenaga ‘memukau’ peminat menerusi persembahan live mereka.
Ini termasuk Sayap-Sayap Wings di Bumi Kenyalang yang cukup terhibur dengan persembahan penuh penghayatan ditonjolkan Wings pada Showcase Wings; One Night Only Live In Kuching.
Membuka persembahan dengan ‘intro’ yang sudah melekat dalam kepala peminat, Opera Hidup yang dipetik daripada album Hukum Karma menjadi pembuka bicara konsert.
Kemudian, persembahan diteruskan dengan Romania, Jumpa Hilang, Mabuk 7 Lautan, Ingatkan Dia dan Hukum Karma.
Konsert kemudiannya menjadi makin panas apabila Wings meneruskan persembahan dengan lagu Bernafas Dalam Lumpur, Bujang Senang dan Peronda Jaket Biru.
‘Anthem’ buat peminat Wings iaitu Taman Rashidah Utama yang dirakamkan pada tahun 1988 turut dipersembahkan di hadapan kira-kira 650 peminat.
Selain itu, peminat turut dihidangkan dengan lagu-lagu lain yang menjadi siulan seperti Harapan dan Sejati.
Dihujung persembahan, Wings tampil dengan Gemuruh dan Awang Trasher.
Apa yang pasti, persembahan bertenaga yang ditunjukkan Wings bukan sahaja pada konsert kali ini, malah dalam beberapa siri konsert sebelum ini juga cukup membuktikan kredibiliti yang dibawa Wings sepanjang 38 tahun berada dalam industri. – TVS