Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Remaja perempuan 14 tahun culik bayi, tiada masalah mental

BUKIT MERTAJAM, 27 Ogos : Gadis berusia 14 tahun yang menculik seorang bayi perempuan berumur sembilan bulan dari sebuah rumah pengasuh di Bukit Tengah di sini pada Selasa lalu tidak mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata hasil siasatan polis mendapati suspek melarikan bayi itu kerana mahu menjaganya seperti anaknya sendiri.

“Suspek (didapati) tidak sakit atau ada gangguan mental, manakala hasil siasatan polis mendapati dia tiada motif lain selain hanya mahu mengambil bayi itu kerana ingin menjaganya.

“Suspek (gadis itu) datang daripada ‘broken family’ (keluarga bemasalah) dan dia membesar dalam persekitaran tidak seperti remaja seusianya,” katanya kepada pemberita ketika melawat rumah keluarga bayi berkenaan di Bukit Tengah di sini semalam (Sabtu).

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, hasil siasatan turut mendapati tiada elemen suspek ingin menjual bayi tersebut kepada sindiket.

Terdahulu, TVS melaporkan polis menahan lima individu berusia 14 hingga 43 tahun di Machang Bubok di sini dan Kulim, Kedah, selepas disyaki terbabit dalam kes penculikan bayi berusia sembilan bulan pada Selasa lalu.

Bayi itu disedari telah dilarikan dari jagaan pengasuh di Bukit Tengah di sini sekitar jam 5.30 petang sebelum polis menjalankan usaha memburu suspek.

Siasatan mendapati bayi itu dilarikan gadis terbabit dengan bantuan beberapa suspek lain atas alasan kerana bayi tersebut terlalu comel.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata reman ke atas gadis itu dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun telah disambung selama empat hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Selepas itu, pada 30 Ogos ini, kedua-dua mereka akan didakwa ke mahkamah.

“Tiga lagi individu yang ditahan sebelum ini akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan