DALAT, 28 Ogos : Kontrak untuk 18 projek tertangguh yang kritikal di negeri ini telah ditamatkan, jelas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan ‘mencari’ kontraktor baharu untuk meneruskan projek berkenaan terutamanya membabitkan infrastruktur.
Jelasnya kontraktor yang mendapat tender pembinaan kelak perlu memastikan dapat menyiapkan kerja mengikut jadual.
“Kita mempunyai kontraktor yang pandai ketika membida kontrak namun apabila berjaya mendapatkannya, kerja gagal disiapkan dan memutuskan untuk tidak meneruskan (projek), inilah masalah yang kita hadapi di sini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat prestasi pelaksanaan projek kerajaan Bahagian Mukah di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sementata itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) menegaskan, kontraktor yang terlibat dengan projek yang diumumkan oleh Premier Sarawak dan wakil rakyat yang lain harus melaksanakan kerja – kerja pembinaan dengan betul.
“Rakyat sangat teruja dengan pengumuman (mengenai projek) dan mengharapkan prosesnya lancar serta mengikut jadual.
“Meraka pasti akan kecewa dan marah kepada kerajaan dan pemimpin apabila perlaksanaan tidak seperti yang diharapkan,” katanya. -TVS