BINTANGOR, 28 Ogos : Dua cedera termasuk seorang parah dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Branda, Nanga Keluton, Pakan, dekat sini, petang semalam.
Insiden kira-kira pukul 5.30 petang itu menyebabkan seorang remaja lelaki, Pagih Belula,13, patah kaki selepas tertimbus hingga paras dada sementara seorang wanita, Telenjing Gandi, 59, mengalami kecederaan ringan di kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nanga Entaih oleh penduduk kampung.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP itu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.42 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati runtuhan itu melibatkan empat daripada 36 pintu rumah panjang berkenaan.
“Runtuhan membabitkan bahagian dapur rumah mangsa,” katanya.
Sebagai tindakan susulan katanya, Bomba memasang sawar sawar dan menasihatkan penduduk agar tidak menghampiri lokasi kejadian.
Ketika ini semua penghuni empat pintu yang terjejas menumpang di rumah saudara mara masing-masing.
“Kita juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum bertolak balik ke balai,” ujarnya. -TVS