KUCHING, 27 Ogos : Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) tidak mengamalkan polisi ‘mengarahkan’ Ahli Parlimen seniornya supaya berundur daripada terus menjadi calon pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU).
Yang Dipertuanya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, budaya parti itu ialah setiap pemimpin akan berundur secara sukarela apabila tiba masanya untuk memberi laluan kepada muka baharu.
“PBB tidak paksa (penyandang berundur) walaupun ada Ahli Parlimen yang sebelum ini menzahirkan tidak mahu bertanding lagi,”katanya.
Abang Johari berkata demikian dalam sidang media selepas hadir majlis penyerahan surat hak milik tanah, cek pampasan tanah dan kunci rumah Darul Hana di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar .
Menurut beliau, satu kelebihan dalam PBB ialah apabila pemimpin merasakan khidmat sudah cukup, mereka secara sukarela akan mengundurkan diri.
“Peluang akan diberikan kepada orang muda, kita tidak akan ‘reforce’,” katanya.
Ketika ditanya sama ada calon yang bakal mengundurkan diri merupakan lelaki atau wanita, Abang Johari hanya menjawab ringkas.
“Tunggu dahulu, beduk belum berbunyi,” katanya.
Sementara itu, mengenai persediaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menghadapi PRU-15 yang dikatakan bakal dilangsungkan dalam waktu terdekat, beliau yang juga merupakan pengerusi GPS berkata, parti ini tetap akan melaksanakan pembangunan demi rakyat.
“GPS tidak ada kerja lain, hanya meneruskan pembangunan sahaja seperti biasa, kerana rakyat yang akan menentukannya,” katanya. -TVS