KUCHING, 27 Ogos: Berat mata memandang, berat lagi kalau mata tak dapat melihat.
Itulah nasib yang sering dialami Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, namun ia tidak semestinya menjadi penghalang untuk berjaya dalam hidup.
Sebaliknya, ia boleh menjadi pembakar semangat untuk terus berdaya saing, seterusnya meletakkan diri sebaris dengan individu normal.
Norhidayu Mohd Jamil juga mempunyai impian untuk berjaya seperti orang lain, termasuk memiliki kerjaya.
Pelatih di Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) itu berkata, walaupun mereka tidak celik seperti insan normal, mereka juga mempunyai harapan untuk merasai secebis nikmat dunia.
“Bagi saya, OKU bukan bermaksud kita hilang upaya kekal, sebaliknya ia menjadikan kita lebih kuat untuk berdiri di atas kaki sendiri.
“Mengubah nasib dan meneruskan kelangsungan hidup, dan dengan latihan kemahiran vokasional, kami sebagai OKU juga boleh mendapatkan kerjaya di luar,” katanya.
Norhidayu berharap golongan OKU dapat berdikari untuk membantu diri sendiri dengan menceburi pelbagai bidang dan kerjaya berdasarkan kemahiran yang dimiliki.
“Di SSB misalnya, mereka menawarkan pelbagai kursus kemahiran kepada OKU buta, bukan sahaja urutan dan refleksologi, tetapi juga teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta Braille yang boleh digunakan untuk menguasai pembacaan dan penulisan,” jelasnya.
Anak jati Daerah Matu Daro berusia 28 tahun itu menyimpan hasrat untuk membuka perniagaan urutan dan refleksologi sendiri bagi membantu keluarganya.
Apa yang penting, katanya, masih banyak pengalaman yang perlu ditimba sebelum dia mengorak langkah seterusnya.
Kemahiran yang dimiliki serta sijil yang diperakukan membuka ruang dan peluang kepada para pelatih untuk menceburi alam pekerjaan.
Tidak hanya terikat dengan bidang urutan, pelatih boleh mengambil kursus kemahiran dalam bidang ICT menerusi latihan asas komputer.
Jurulatih ICT dan Braille SSB, Sharifah Zubaidah Wan Abu Bakar, berkata sebelum ini, ramai pelatih berjaya mendapatkan pekerjaan di agensi kerajaan dan swasta selepas tamat kursus kemahiran di SSB.
“Apabila mereka (pelatih) tamat pengajian di sini, mereka boleh mendapatkan pekerjaan menggunakan sijil kemahiran yang ada. Malah baru-baru ini terdapat seorang bekas pelatih ditawarkan bekerja di sebuah syarikat.
“Dengan kemahiran ICT dan Braille, mereka tidak akan menghadapi masalah apabila melakukan kerja-kerja pejabat, “ katanya.
Untuk makluman, SSB merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang telah didaftarkan secara rasmi pada 3 November 1960.
Ia bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang cacat penglihatan di Sarawak, termasuk menggubal dasar dan melaksanakan program bagi memperkasakan kumpulan sasar itu yang meliputi pendidikan, pemulihan, latihan vokasional, pekerjaan dan integrasi sosial. – TVS