Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

200 suri rumah jadi telinga dan mata PDRM

SIBU, 27 Ogos : Seramai 200 suri rumah dijangka akan menjadi telinga dan mata polis untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah di Taman Kemuyang di sini.

Pengenalan konsep Amanita atau ‘wanita cintakan keamanan’ diharap dapat membantu meningkatkan keselamatan dan usaha pencegahan jenayah di kawasan tersebut.

Demikian kata Pesuruhjaya Polis Negeri, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri, pada majlis pelancaran Program Taman Angkat di Kompleks Kebajikan Juma’ani Tunku Haji Bujang (PERYATIM) di sini pada pagi tadi.

Beliau berkata, pelancaran Taman Angkat Amanita Kemuyang juga memberi impak positif dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan yang dihuni 5,000 penduduk daripada kira-kira 1,000 unit rumah di situ.

Di bawah program ini, seramai 200 suri rumah dijangka terlibat untuk menjadi mata dan telinga bagi membantu pasukan polis memerangi jenayah di Taman Kemuyang.

“Pelaksanaan program itu juga secara tidak langsung menggalakkan kerjasama dengan suri rumah, terutamanya melalui kehadiran anggota Skuad Aman Wanita (Amanita), dalam usaha mengekang jenayah.

“Ia dilihat memberi impak positif dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di sesuatu kawasan dengan konsep penerapan kadar rondaan polis serta kerjasama bersama penduduk,” katanya.

Menurut Mohd Azman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mewujudkan unit khas dikenali sebagai Amanita pada Mac 2013 dalam usaha mendapatkan maklumat mengenai kegiatan jenayah, yang tidak dilaporkan dalam kalangan masyarakat, dalam usaha PDRM mengurangkan kadar dan mengekang jenayah.

Sehubungan itu, Kontinjen Sarawak meneruskan inisiatif dengan melibatkan suri rumah dalam usaha pencegahan jenayah, iaitu menjadikan Taman Kemuyang sebagai taman angkat Skuad Amanita Wanita (Amanita).

“Program taman angkat ini bertujuan meningkatkan penglibatan anggota polis secara lebih dekat dengan penduduk kawasan perumahan, selain berkomunikasi dengan suri rumah dalam usaha mencegah jenayah.

“Pegawai Amanita akan mengadakan kolaborasi antara polis wanita dengan suri rumah agar lebih fokus dan tersusun.

“Selain daripada berinteraksi dengan suri rumah untuk mendapatkan maklumat berkaitan jenayah, pewujudan Taman Angkat Amanita ini juga akan menjadikan kawasan kediaman sebagai tempat tinggal yang lebih selamat,” jelasnya lagi.

Kerjasama ini, tegas Mohd Azman, diharap dapat membantu pihak polis dari segi penyampaian maklumat berkaitan jenayah dan aktiviti tidak bermoral, khususnya apabila mendapati ada perkara yang mencurigakan berlaku di kawasan sekitar, mereka boleh berhubung terus dan melaporkan kepada pihak polis dengan segera.

“Diakui, suri rumah adalah orang yang tepat untuk menyampaikan maklumat kepada polis kerana mereka sentiasa berada di rumah dan mengetahui perkembangan jiran. Jadi mereka berhak diberi mandat untuk sama-sama mencegah jenayah setempat dengan melaporkan kepada polis,” katanya.

Kriteria pemilihan taman angkat adalah berdasarkan indeks jenayah dan masalah dadah selain kerjasama baik yang diberikan kepada pihak polis selama ini.

Mohd Azman berkata walaupun indeks jenayah dan masalah dadah di Taman Kemuyang terkawal, Taman Angkat Amanita akan dijadikan platform awal supaya penduduk setempat sentiasa berwaspada dan membantu polis mencegah jenayah.

Beliau berharap program itu dapat memberi keyakinan kepada orang ramai dan masyarakat dalam usaha pasukan polis membanteras kegiatan jenayah.

“Dengan wujudnya Amanita di taman perumahan ini dan penglibatan suri rumah, suami yang keluar bekerja juga akan berasa lebih selamat,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan