KUCHING, 26 Ogos : Penyanyi Iban yang sedang ‘meledak’, Winnie Albert, mendedahkan secara eksklusif bahawa dia bakal berduet dengan seorang artis dari Afrika dalam masa terdekat.
Winnie berkata, dia menerima tawaran itu menerusi rakan artisnya, Jimmy Pelikat.
Namun penyanyi kelahiran Sri Aman, Sarawak ini menjelaskan dia belum dapat mendedahkan identiti penyanyi antarabangsa itu ketika ini.
“Apa yang pasti, kami akan menyanyi sebuah lagu, dia menyampaikan dalam bahasa Inggeris manakala saya akan menyanyikan rangkap bahasa Iban,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Winnie berkata, tawaran berkenaan merupakan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan kerana dapat mempelbagaikan jenis lagu yang dinyanyikan.
Sementara itu, dia juga mendedahkan bakal membuat konsert di Kuala Lumpur pada 23 dan 24 September ini.
Dia berharap agar komuniti Dayak di Semenanjung Malaysia dapat memberikan sokongan kepadanya di konsert tersebut nanti. – TVS