MANILA, 25 Ogos: Kerajaan Filipina pada Khamis berkata taufan tropika Ma-on yang membadai pulau utama Luzon minggu ini menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan empat lagi cedera di negara itu.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan berkata jumlah kematian yang dilaporkan itu berlaku di dua wilayah utara Filipina dan wilayah Bicol di hujung selatan Luzon ketika Ma-on mendarat pada pagi Selasa, lapor Xinhua.
Ia berkata Ma-on menjejaskan hampir 50,000 orang di hampir 400 kampung. Angin bertiup dengan kelajuan maksimum 110 km sejam dengan adakalanya tiupan itu mencapai sehingga 150 km sejam, dengan Ma-on turut membawa hujan lebat yang menyebabkan jalan raya banjir, selain ia merosakkan rumah dan memutuskan komunikasi dan talian elektrik di laluannya.
Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos menggantung persekolahan di semua peringkat dan pejabat kerajaan di Metro Manila dan enam wilayah lain pada Selasa dan Rabu kerana risiko yang ditimbulkan oleh Ma-on.
Ma-on, yang bergerak dari Filipina pada pagi Rabu, merupakan taufan tropika keenam yang melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini.
Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana di seluruh dunia, terutamanya kerana lokasinya yang terletak di Lingkaran Api Pasifik dan Laluan Taufan Pasifik.
Secara purata, negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setiap tahun, ada di antaranya bertiup amat kencang hingga membawa kemusnahan.
Pada April, ribut tropika Megi membadai Filipina dan mengakibatkan tanah runtuh dan banjir, menyebabkan 224 orang maut dan 147 yang lain hilang – TVS