SARIKEI, 21 Ogos : Kehadiran seekor ular sawa sepanjang tiga meter yang ‘tersadai’ dalam longkang berhampiran sebuah kedai kopi di Jalan Bersatu, di sini mengejutkan pelanggan yang bersarapan di situ.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.35 pagi tadi.
Menurut Mahmudin, setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati ular sawa itu ‘tidak dapat bergerak’ kerana dipercayai kekenyangan selepas menelan seekor kucing.
“Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk menangkap reptilia itu kerana saiznya agak besar,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, ular sawa itu kemudian dilepaskan ke habitat asalnya yang jauh dari penempatan penduduk dan operasi berakhir pada pukul 7.50 pagi. -TVS