GEORGE TOWN, 21 Ogos : Kegembiraan sekumpulan sahabat bermandi-manda di Pantai Tanjung Manis, Gertak Sanggul di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas semalam.
Mangsa, S. Thanaseelan, 20, yang berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang dilaporkan hilang kira-kira pukul 2.30 petang.
Difahamkan, kehilangan mangsa disedari oleh rakannya setelah mereka naik ke darat berikutan cuaca semakin mendung.
Mangsa dipercayai dihanyutkan ombak berikutan air yang bergelora ketika kejadian.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Abd. Razak Mohamed berkata, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) segera menggerakkan usaha mencari dan menyelamat sejurus menerima maklumat pada pukul 3.40 petang.
Menurutnya, bot KILAT 26 milik pasukan itu diatur gerak untuk melakukan pencarian awal bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bagan Jermal yang menyelam di lokasi kejadian.
“Pencarian masuk hari kedua hari ini melibatkan empat sektor dengan keluasan pencarian 13.45 batu nautika persegi turut membabitkan Polis Marin Batu Uban, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan oleh Maritim Malaysia bersama agensi sahabat yang lain di Pantai Tanjung Manis bagi memudahkan koordinasi pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, mangsa belum ditemui. – TVS