BALIK PULAU, 20 Ogos : Tiga remaja lelaki ditahan polis di Kilometer (km) 12, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dekat sini selepas didapati menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan tanpa menggunakan laluan khas motosikal semalam.
Penahanan mereka yang berusia 13, 16 dan 17 tahun kira-kira pukul 4 petang itu turut mendedahkan kegiatan mencuri motosikal apabila salah sebuah motosikal itu pernah dilaporkan hilang oleh pemiliknya.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, ketiga-tiga mereka dikatakan dalam perjalanan dari Batu Gajah, Perak untuk ke rumah masing-masing di sini yang jaraknya kira-kira 190 km.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di Teluk Kumbar pada 3 Julai lalu.
“Motosikal itu ditunggang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah tanpa mempunyai lesen sambil dibonceng remaja 13 tahun.
“Motosikal curi itu juga turut didapati menggunakan nombor plat palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.
Tambah Fisol, remaja berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah pula didapati menunggang motosikal miliknya dan mempunyai lesen.
“Bagaimanapun kita menggeluarkan empat saman atas beberapa kesalahan termasuklah motosikal tidak mengikut spesifikasi.
“Kedua-dua buah motosikal berkenaan disita bagi siasatan lanjut dan remaja 17 tahun turut direman selama empat hari,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau menasihati ibu bapa untuk memantau tingkah laku dan pergerakan anak-anak kerana ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 bagi kesalahan pengabaian kanak-kanak di bawah umur. – TVS