SANDAKAN, 20 Ogos : Tiga sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Lorong 11, Taman Rajawali, di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang maut terdiri daripada seorang wanita warga emas bersama anak lelaki dan menantunya.
Katanya, kesemua mayat itu dijumpai di bahagian ruang tamu rumah berkenaan yang terbakar kira – kira 90 peratus.
“Terdahulu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.35 malam.
“Susulan itu, seramai 18 anggota dan pegawai bersama empat kenderaan utiliti dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran,”jelas jurucakap berkenaan.
Mayat kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.20 pagi. -TVS