LAHAD DATU, 20 Ogos : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memohon maaf kepada keluarga pesakit yang terlibat dalam isu pemberian ubat yang salah oleh pegawai perubatannya di Klinik Kesihatan Felda Sahabat, Lahad Datu.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin berkata, pihaknya mendapati terdapat kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan dengan pesakit yang mendapatkan rawatan itu sehingga berlaku kejadian tersebut.
Menurutnya, berdasarkan siasatan pegawai perubatan terlibat telah melihat buku rawatan yang dibawa pesakit dan didapati pesakit mempunyai rekod diberi ubat kencing manis sebelum ini.
“JKNS mengesyaki buku rawatan yang dibawa pesakit telah bercampur dengan buku rawatan isterinya dan ini telah menimbulkan kekeliruan kepada pegawai perubatan berkenaan yang meneruskan pemberian ubat kencing manis kepada pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mengikut rekod pesakit mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakkan kelenjar prostat.
Dr. Rose Nani berkata, sepatutnya pegawai perubatan berkenaan memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga pesakit tentang status penyakit yang dihadapi pesakit dan jenis ubat yang diberikan.
“Sekiranya penerangan dilaksanakan sudah tentu kekeliruan dapat dielakkan,”katanya lagi.
Sehubungan itu JKNS akan memastikan pegawai-pegawai perubatan yang bertugas di Sabah terutama kawasan pedalaman mendapat latihan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan secara berkala. – TVS