LANGKAWI, 19 Ogos : Tiga penyanyi jalanan termasuk seorang wanita ditahan polis bersama sejumlah dadah disyaki jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, Kedawang di sini awal pagi tadi.
Operasi pada pukul 1.30 pagi itu dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan anggota Balai Polis Padang Matsirat.
IPD Langkawi dalam satu kenyataan berkata, semasa serbuan, pihaknya menemui ketiga-tiga suspek yang berusia 24 hingga 26 tahun berkenaan di bahagian ruang tamu rumah tersebut.
“Hasil siasatan lanjut, polis menemui 17 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 178.14 gram, peralatan dipercayai untuk menghisap ganja dan penimbang digital di atas lantai ruang tamu.
“Turut dijumpai dan dirampas adalah tiga pasu yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja di kawasan hadapan rumah itu,” jelas kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata, siasatan lanjut polis mendapati kesemua suspek bekerja sebagai pemuzik jalanan atau busker di pulau peranginan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS