TANJONG MANIS, 19 Ogos : Identiti dua lelaki yang maut dalam kejadian sebuah lori membawa jengkaut melanggar wayar elektrik di sini pagi tadi dikenal pasti sebagai rakyat tempatan dan warga Indonesia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Manis, Pegawai Bomba Tinggi Wan Umar Wan Alek berkata, lelaki tempatan itu dikenali sebagai Hii Sieh King,61, yang merupakan pemandu kenderaan berat itu manakala seorang lagi Al Bari Mahmud, 34, berasal dari Sengkawang.
Kedua-dua mangsa katanya merupakan pekerja kontrak pembersihan parit.
Baca di sini > > > Dua maut lori bawa jengkaut tersangkut pada kabel elektrik di Tanjong Manis
“Menurut maklumat daripada siasatan awal polis, kejadian berlaku apabila jentera di atas lori treler itu tersangkut pada wayar elektrik menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik sehingga rentung,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Kejadian di Jalan Kampung Semalau itu kira – kira pukul 9 pagi tadi turut menyebabkan lori itu terbakar.
Sementara itu, Wan Umar memberitahu, lori terbabit dipercayai keluar dari kawasan Skim Jabatan Pengairan dan Saliran ke jalan besar berhadapan Rumah Panjang Semalau.
Beliau memberitahu, setibanya pasukan bomba di lokasi, mereka mendapati kedua-dua mangsa terbaring di bawah lori bersebelahan tempat duduk pemandu manakala tayar di bahagian hadapan hangus terbakar.
“Pasukan bomba melakukan operasi berdasarkan konsep ‘receo’ iaitu membuat kerja menyelamat, memindahkan mangsa dan sebelum melakukan kerja pemadaman kerana masih terdapat aliran elektrik pada kedua –dua jentera berat terbabit,”katanya.
Ujar beliau, operasi pemadaman pula menggunakan sumber air tangki jentera sebaik sahaja aliran elektrik berjaya dihentikan oleh petugas Sarawak Energy.-TVS