TAWAU, 19 Ogos : Jabatan Hidupan Liar (JHL) di sini sedang memantau seekor gajah betina sesat yang dikhuatiri boleh mengancam lebih 200 buah rumah penduduk di Mukim Merotai.
Ketua JHL Tawau, Primus Lambut berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk pada petang semalam mengenai kehadiran gajah liar itu.
Katanya, kini usaha menjejak serta menghalau mamalia itu ke habitatnya sedang dilakukan.
“Kita percaya gajah betina ini sedang bunting dan bergerak secara solo tetapi tidak agresif,”katanya ketika dihubungi.
Menurut Primus, anggota JHL sudah seminggu melakukan pemantauan di Merotai selepas mengesan gajah betina itu berada di situ.
“Gajah betina ini memakai kolar sebab itu anggota JHL dapat mengesannya,”katanya.
Terdahulu tular gambar dan video di Facebook dan aplikasi Whatsapp mengenai kehadiran gajah liar itu yang bersendirian di kawasan pekan dan rumah penduduk.
Seorang penduduk, Azmil Ahud, 35, berkata, dia melihat kelibat haiwan itu melintas jalan di pekan dan di hadapan rumah penduduk di Kampung Menggaris dan Kampung Desa Subur.
“Walaupun gajah itu dilihat comel namun ia tetap menakutkan kerana risau haiwan itu akan mengamuk sehingga membahayakan penduduk,”katanya. -TVS