Rashid Salleh menyeru agar penggiat industri perfileman berasal dari Sarawak memainkan peranan dalam membantu perkembangan industri kreatif di negeri ini. Foto TVS

Bantulah anak Sarawak berkembang dalam industri kreatif – Rashid Salleh

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 19 Ogos : Pengarah filem, Rashid Salleh menyeru agar pemain industri perfileman berasal dari Sarawak yang menempa nama di Kuala Lumpur atau luar negara supaya turut membantu perkembangan industri berkenaan di negeri ini.

Rashid yang juga anak jati Bumi Kenyalang berkata, ini penting kerana pemain industri di Sarawak masih baharu dan sekiranya mendapat pendedahan yang diperlukan, mereka akan dapat mengembangkan bakat dan seterusnya menghasilkan karya yang lebih bermutu.

Rashid yang popular dengan siri komedi Kopitiam sekitar tahun 1990-an berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian untuk memacu industri kreatif di Sarawak ialah pengalaman industri.

“Di sinilah peranan mereka yang berpengalaman untuk membimbing dan mengasah bakat pemain industri yang masih baharu, tidak kira latar belakang dari dunia penyiaran televisyen atau filem, semuanya perlu berganding bahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada majlis pelancaran siri komedi arahannya bertajuk Belon Angkasa di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Cawangan Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FINAS Borneo, Mohammad Rizal Mohamed Yunus dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Media Group (SMG), Rizal Zulkapli.

Belon Angkasa merupakan produksi tempatan pertama yang menggunakan fasiliti studio baharu FINAS Cawangan Sarawak yang telah siap untuk aktiviti perfileman.

Karya berkenaan juga merupakan komedi pertama di Malaysia yang menggunakan stesen angkasa sebagai latar belakang cerita.

Ianya diterbitkan oleh produksi Asa Esa Films dan akan disiarkan di saluran TVS 122. 

Sementara itu, Rashid yang turut membintangi filem Waris Jari Hantu berkata, pihak produksi yang bertapak di Sarawak juga perlu diberi bantuan membabitkan praktikal yang boleh diperolehi menerusi pendedahan di set penggambaran.

“Perkara terbaik ialah semasa proses kerja berlangsung, mereka (pekerja baharu) boleh belajar dan melihat secara terperinci,”katanya.

Rashid berkata, apabila beliau melakukan kerja produksi di Sarawak, pekerja baharu industri akan dijemput untuk terlibat sama, bertujuan untuk memberi pendedahan.

“Saya tahu ramai produksi atau penerbit yang takut hendak buat begini namun dengan cara ini, ianya membantu memberi pengalaman kepada anak Sarawak,”katanya. -TVS 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan