KUCHING, 18 Ogos : Tiga perpustakaan utama di negeri ini termasuk Pustaka Negeri Sarawak ‘bergabung’ menganjurkan Festival Kanak – Kanak secara fizikal selepas dua tahun dilaksanakan secara dalam talian.
Pemangku Ketua Pengarah Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, acara selama dua hari itu dijangka akan menarik kehadiran sehingga lapan ribu kanak – kanak pada setiap sesi.
Katanya, pelbagai ruangan disediakan untuk membantu kanak-kanak memahami kepentingan pelbagai bidang termasuk penulisan, penceritaan, kepentingan perpustakaan, seni, muzik serta teknologi terkini.
“Kita melihat kepentingan bidang – bidang yang disebut sebagai asas untuk kanak-kanak lebih mudah belajar dan berjaya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, program yang memasuki edisi kelima penganjuran itu akan bermula di Pustaka Negeri Miri pada 27 dan 28 Ogos ini manakala Pustaka Negeri Sibu dan Pustaka Negeri Sarawak pada 3 dan 4 September depan.
Menurut Japri, sepanjang program itu, Pustaka Negeri Sarawak akan menyediakan sebanyak 10 ruangan aktiviti manakala Pustaka Miri dan Pustaka Sibu menyediakan 19 ruangan aktiviti untuk menerapkan minat kanak-kanak terhadap aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Tambahnya, kesemua penyertaan untuk program selama dua hari itu disediakan secara percuma. -TVS