SANDAKAN, 18 Ogos : Sebuah pusat penyembelihan ayam di Batu 14, Sandakan di sini diarah tutup kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr. Johari Awang Besar berkata, selain kotor, pihaknya juga ‘mengesan’ kehadiran tikus dan najisnya di kawasan berhampiran.
Selain itu katanya pusat penyembelihan itu juga tidak mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan yang diwajibkan untuk setiap premis pengilangan makanan.
Oleh itu, beliau berkata penutupan pusat tersebut dikuatkuasakan selaras dengan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Dalam operasi ini kita melihat dua perkara iaitu kebersihan di tempat memproses ayam dari awal hingga akhir serta dokumentasi syarikat.
“Dalam Program Jaminan Keselamatan Makanan itu telah dijelas secara terperinci aspek yang perlu dipatuhi oleh majikan. Kalau mereka aplikasikan dan patuhi program itu, sepatutnya tidak timbul isu kebersihatan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Operasi Bersepadu Pemeriksaan Pusat Penyembelihan Ayam di Sandakan, pada Khamis.
Untuk rekod, terdapat enam pusat penyembelihan ayam beroperasi di Sandakan dengan empat daripadanya mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan.
Dr. Johari berkata pihaknya memandang serius perkara itu bagi mengelak berlakunya pencemaran kepada ayam mentah yang disedia dan dibekalkan kepada pengguna.
Katanya, operasi seumpama akan diadakan berterusan bagi memantau keselamatan makanan agar tidak berlakunya penyakit bawaan makanan dan minuman. -TVS