BINTANGOR, 18 Ogos : Perlumbaan bot berkuasa tinggi dijangka akan menjadi acara tumpuan sempena Pesta Bintangor 2022 yang bermula pada 22 hingga 30 Oktober depan.
Pengerusi Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Badjuri Bidin berkata, selain itu, penganjur turut menyediakan beberapa acara lain termasuklah sukan rakyat, Ratu Bintangor, program kebudayaan dan persembahan pentas.
Kata Badjuri, selepas dua tahun ditunda akibat pandemik COVID-19, acara berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Limau Bintangor kini dijenamakan semula sebagai Pesta Bintangor.
“Ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menarik kehadiran pengunjung sekali gus merancakkan semula ekonomi setempat.
“Pada tahun ini kita menjangkakan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO),”katanya pada sidang media semalam.
Beliau memberitahu, MJMD bertindak sebagai penyelaras program itu yang turut bermatlamat untuk mengeratkan kerjasama dan hubungan mesra di kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Kita juga mahu mempromosikan produk pertanian tempatan dan hasil hiliran selaras peranan Meradong sebagai daerah pertanian dan pengeluar makanan,” katanya. -TVS