KUCHING, 18 Ogos : Rutin latihan penerbangan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kapar pagi tadi bertukar menjadi misi menyelamat apabila mereka mengesan lima pemancing yang terkandas Pulau Batu Berantai, pagi tadi ketika cuaca buruk.
Lebih mendebarkan, ketika misi menyelamat dilakukan oleh Maritim Malaysia, kesemua mangsa yang sedang berlindung di atas batu besar dipukul ombak yang membadai kawasan itu.
Ketua Stesen Udara Maritim Malaysia Subang, Kepten (M) Syed Islam Shahajam berkata, juruterbang pesawat AW139 yang digunakan dalam latihan itu menyedari lambaian meminta pertolongan daripada kumpulan pemancing berkenaan.
“Selepas diselamatkan, mereka diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) bagi mendapatkan rawatan perubatan kerana berada di dalam keadaan lemah dan trauma,”katanya.
Katanya, pada awalnya tiga pemancing dari Tanjung Karang dihantar oleh sebuah bot ke pulau itu pada pukul 7. 20 petang semalam dan sepatutnya pulang pagi tadi.
“Namun pada pukul 8. 30 pagi, bot itu tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram di lokasi kejadian kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa dan akhirnya tidak muncul kerana dipercayai terkandas akibat cuaca buruk,” katanya.
Katanya, barang peribadi mangsa seperti telefon bimbit, jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak menyebabkan mereka tidak dapat meminta pertolongan.
Beliau memberitahu kesemua mangsa kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. -TVS