KEPALA BATAS, 18 Ogos : Seramai 25 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini didakwa mengalami histeria ketika sesi persekolahan semalam.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi itu bermula di sebuah kelas apabila salah seorang pelajar mendakwa melihat lembaga berwarna hitam pada siling kelas sebelum jeritan pelajar ‘merebak’ ke kelas bersebelahan.
Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Julia berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas anaknya pulang dari sekolah lebih awal iaitu kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Anak saya memberitahu ada segelintir pelajar yang diserang histeria, mereka berdiri sambil menari tarian tradisional Melayu.
“Saya sendiri sebelum itu juga nampak ramai pelajar yang berlari di kawasan sekolah yang saya sangkakan mereka menjalani latihan kawad memandangkan rumah saya berdekatan sekolah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, waris pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini berkata, kejadian tersebut didakwa berkemungkinan tercetus selepas pihak sekolah membawa keluar beberapa peralatan muzik lama yang disimpan di dalam sebuah bilik.
“Mengikut apa yang diceritakan anak saya, ada alat muzik jenis gong dikeluarkan dari kelas yang dijadikan bilik muzik dan ia tidak disimpan semula di tempat asalnya.
“Malah, katanya sebelum ini insiden sama (histeria) berlaku ketika pihak sekolah membawa keluar alat muzik gamelan dari tempat menyimpannya,” katanya.
Sementara itu, difahamkan sesi persekolahan hari ini berjalan seperti biasa apabila kesemua pelajar berkenaan telah pulih.
TVS sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang berhubung kejadian berkenaan. -TVS