LIMBANG, 18 Ogos : Para guru disaran untuk meningkatkan tahap kemahiran masing – masing bagi memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini akan membolehkan profesion perguruan kekal relevan dan berupaya menghadapi cabaran revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0).
Kata beliau, guru merupakan penggerak utama dalam pembangunan modal insan dan negara memerlukan sumbangan profesional berkenaan untuk membina keupayaan dan kompetensi murid agar menjadi kuasa siber khususnya di Sarawak.
“Sarawak memerlukan keupayaan guru bagi mengangkat martabat dan menggerakkan negeri dengan 2.8 juta penduduk ini maju menjelang 2030,”katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah, Limbang di sini hari ini.
Katanya lagi adalah menjadi keutamaan kerajaan Sarawak untuk memberi sokongan kepada Agenda Pendidikan Kebangsaan.
“Yang kurang kita tambah, yang perlu, kita wujudkan, yang sudah ada, kita rekayasa.
“Semuanya dengan tujuan untuk membolehkan pendidikan di Sarawak berdiri sama tinggi dengan agenda peringkat kebangsaan demi kepentingan anak Sarawak,” katanya lagi. -TVS