KUCHING, 17 Ogos : Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) anjuran Malaysia Press Institute (MPI) dan Petronas merupakan pemangkin kepada pengamal media di Malaysia untuk terus berkarya.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, HKM juga boleh diibaratkan sebagai gelanggang untuk para wartawan melatih diri menjadi pengamal media yang berkaliber.
Namun katanya, apa yang perlu menjadi keutamaan adalah disiplin diri.
“Ini telah dibuktikan apabila wakil TVS terpilih sebagai pemenang bagi kategori Wartawan Muda A Samad Ismail, kategori televisyen pada malam anugerah baru – baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan ceramah Menghasilkan Karya Memenangi Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Rizal Zulkapli dan Ketua Pegawai Eksekutif New Sarawak Tribune, Dr Jeniri Amir.
Sesi berkenaan dianjurkan secara bersama oleh New Sarawak Tribune, Suara Sarawak dan SMG di Tegas Digital Village yang melibatkan penyertaan lebih 50 pengamal media dari ketiga – tiga syarikat media berkenaan.
Sementara itu, Chamil mendedahkan, selepas wakil TVS berjaya menang anugerah berkenaan baru – baru ini, beliau menerima banyak panggilan telefon yang memaklumkan tidak menyangka wakil media di Sarawak mampu mencapai kejayaan pada majlis pengiktirafan media paling berprestij di negara ini.
“Mereka tidak tahu bahawa wartawan Sarawak boleh menang.
“Saya kata mengapa tidak? Syaratnya mesti hantar penyertaan pada Hadiah Kewartawanan Malaysia,” katanya.
Pada malam HKM di Kuala Lumpur pada Jun lepas, wartawan TVS, Salasiah Safian mencatat sejarah sebagai pemenang pertama daripada syarikat media berkenaan yang merangkul trofi pada Malam Wartawan Malaysia 2021 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Salasiah menang menerusi laporannya bertajuk Kerbau Maragang Lawas, Pusuk Lawas dan Potensi Lawas Sebagai Destinasi Perlancongan yang disiarkan pada Disember tahun lepas.-TVS