SANDAKAN, 15 Ogos : Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai tergelincir ketika mendaki bukit secara bersendirian di Taman Mawar, di sini, petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa yang berumur 70 tahun terjatuh ke dalam gaung dari ketinggian 20 kaki.
Jelas PGO, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.20 petang mengenai kejadian itu telah mengerahkan seramai tujuh anggota ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Operasi membawa keluar mangsa turut dibantu oleh anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Berdasarkan laporan, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”jelas kenyataan itu.
Mayat yang dibawa turun kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -TVS