KOTA KINABALU, 15 Ogos : Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meletakkan calonnya di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pimpinan parti akan ‘meminta’ maklumat daripada Ketua Perhubungan Warisan setiap kawasan mengenai calon yang sesuai untuk dipertaruhkan dalam usaha mereka untuk menang banyak kerusi.
“Mereka (Ketua Perhubungan Warisan kawasan) akan memberi senarai calon sebaik sahaja selesai pemilihan parti di semua peringkat pada bulan ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kolombong di sini hari ini.
Pada PRU-14 Warisan menang lapan kerusi parlimen iaitu Kalabakan, Silam, Batu Sapi, Papar, Penampang, Sepanggar dan Kota Belud.
Mohd. Shafie pula berjaya mempertahankan kerusi Semporna yang sebelum itu dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, Mohd. Shafei yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, partinya ‘terbuka’ untuk bekerjasama dengan parti – parti lain menjelang PRU-15 ini.
Bagaimanapun katanya, setakat ini, Warisan masih belum memutuskan parti manakah yang akan menjadi ‘gandingan’ mereka.
“Kita akan lihat keadaan, seperti yang saya nyatakan kalau Parti Bersatu Sabah (PBS) ada (berminat), kita perhalusi dengan PBS,”katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, Warisan tidak hanya membuka pintu kepada PBS sahaja kerana mereka masih menerima rundingan daripada parti lain untuk bekerjasama.
“Kita tidak bincang tentang gabungan dengan mana – mana parti namun kita kena ada kesiapsiagaan seperti yang selalu dinyatakan iaitu kuatkan parti dahulu,”katanya. -TVS