Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Penanaman terung asam menuntut penglibatan tempatan yang lebih tinggi

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 14 Ogos : Pokok terung asam merupakan sejenis tumbuhan renek berbuah yang terkenal di Sarawak.

Dikenali sebagai terung Dayak atau terung Iban oleh penduduk asal, sayuran yang diberi Petunjuk Geografi (GI) sebagai produk asal Sarawak oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 2013 itu telah membuka peluang kepada pekebun di Bumi Kenyalang untuk memanfaatkannya bagi menjana pendapatan.

Menurut salah seorang pengusaha ladang terung asam, Morgan Chua, hak pemilikan terung asam yang diberikan kepada Sarawak memberi kelebihan kepada petani tempatan untuk mengusahakannya secara serius.

https://www.youtube.com/watch?v=aChw1y8pcTY
Inovasi terung asam yang telah diproses oleh Kun Produk, Miri.

Morgan menjelaskan bahawa potensi besar tanaman itu, yang boleh asas kepada pelbagai produk yang dihasilkan menerusi inovasi, merupakan faktor utama kenapa bidang itu harus diceburi dan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Pasaran seperti Singapura dan Semenanjung Malaysia adalah pasaran yang berpotensi, sebab pasaran di sana memang besar, dan mereka boleh menerokai usaha untuk menghasilkan produk melaluinya.

“Contoh yang ada di Sarawak pada ketika ini adalah jus terung asam, kek lapis terung asam, enzim terung asam, aiskrim terung asam dan sebagainya,” katanya.

Morgan menambah, terung asam bukan sahaja boleh digunakan untuk menghasilkan produk makanan dan minuman sahaja, tetapi ia boleh juga diterjemahkan ke dalam sektor perubatan.

“Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan syarikat di Kuala Lumpur di mana mereka ingin mendapatkan terung asam bagi tujuan kajian perubatan kanser.

“Oleh itu, ini secara tidak langsung meyakinkan saya bahawa penanaman terung asam ini adalah penting dan berpotensi tinggi dalam pelbagai industri,” katanya.

Namun begitu, proses penanaman sayur tersebut, yang perlu menjalani kaedah dan penjagaan yang rapi, menjadi cabaran terbesar dalam usaha menarik minat petani untuk mengusahakannya.

Inovasi terung asam kepada pelbagai produk

Selain midin, terung asam merupakan antara sayuran yang menjadi kebanggaan penduduk Bumi Kenyalang sejak berdekad lamanya.

Terkenal sebagai bahan utama dalam resipi masakan yang pelbagai, terung asam juga membuka peluang kepada lebih banyak penghasilan produk berasaskannya oleh penduduk tempatan.

Melihat kepada potensi tersebut, ia mendorong beberapa usahawan untuk merebut peluang yang ada bagi menghasilkan produk berasaskan terung asam.

Berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun dalam menghasilkan produk kesihatan berasaskan tumbuhan, pengusaha produk kesihatan, Kim Ngo, memilih untuk menginovasikan terung asam sebagai minuman enzim.

“Terung asam merupakan produk tempatan Sarawak yang sangat mudah untuk didapati di pasaran dalam Sarawak, dan saya mempunyai pengalaman yang lama menghasilkan enzim, tetapi tidak pernah cuba melakukannya dengan menggunakan terung asam sebelum ini. Oleh itu, melihat kepada potensi tumbuhan ini, saya menginovasikannya sebagai enzim yang baik bagi penghadaman manusia,” katanya.

Inovasi terung asam yang telah diproses oleh Kun Produk, Miri.

Sebagai pengusaha, beliau mengharapkan penglibatan yang lebih tinggi daripada masyarakat setempat dalam penanamannya, selain pendedahan yang berterusan agar manfaat terung asam dapat dikongsi bersama.

Turut senada, pengusaha produk makanan berasaskan terung asam, Fitriah Rahbi, yang berpandangan, penglibatan ramai dalam bidang terbabit masih diperlukan jika mahu terung asam terus dikenali.

“Kalau benda ini tidak diinovasikan, generasi akan datang tidak akan tahu apakah itu terung asam.

“Apabila kita menginovasikannya kepada produk, sekurang-kurangnya generasi kita akan tahu, dan pada masa sama, orang akan ingat bahawa terung asam ini adalah sesuatu yang unik,” katanya.

Fitriah melihat tumbuhan itu mampu menjadikan Sarawak terkenal di mata dunia, namun memerlukan bantuan dan perhatian pihak berwajib.

Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai petani menceburi penanaman terung asam, yang dianggap sebagai salah satu permata Sarawak, bagi memastikan kelangsungan bekalan kepada pengusaha produk berasaskan sayur tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan