Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Negeri Sabah tidak akan membiarkan kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi di negeri ini akan berterusan. Foto : TVS

Kerajaan Negeri Sabah tidak biar pengangguran dan kemiskinan berterusan

SANDAKAN, 14 Ogos : Kerajaan Negeri Sabah tidak akan membiarkan pengangguran dan kemiskinan yang tinggi berterusan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata kerajaan mensasarkan tempoh tiga tahun untuk mengeluarkan Sabah daripada status negeri termundur.

Menurutnya, tahap prasarana yang tidak memuaskan di negeri ini menyebabkan kerajaan sukar untuk menarik pelaburan asing dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyatnya.

“Memang hakikatnya di Sabah ini, sukar untuk kita mewujudkan ruang pekerjaan kerana pelabur yang besar sukar untuk membuka kilang kerana kita kekurangan elektrik dan air. Tahap prasarana kita pun belum di tahap yang baik,” katanya.

Susulan itu, Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, meminta kerajaan persekutuan mempercepatkan pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Usaha itu akan meningkatkan tahap prasarana di Sabah, yang dijangka dapat menarik lebih ramai pelabur asing dan pada akhirnya mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kerajaan negeri tidak berdiam. Kita faham memang wujud krisis peluang pekerjaan yang memaksa anak-anak muda kita bekerja di Sarawak, Semenanjung dan sebagainya.

“Tetapi kita tidak akan membiarkan perkara ini berterusan. Kita akan pacu Sabah dari pelbagai segi, termasuk ekonomi, dalam usaha mengeluarkan Sabah daripada kemunduran,” katanya.

Bung Moktar berkata demikian selepas merasmikan Program Aspirasi Kepulihan Keluarga di Dewan Serbaguna Libaran di Sandakan.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbaharu yang menyatakan Sabah merupakan antara negeri dengan kadar pengangguran dan kemiskinan tertinggi.

Untuk makluman, Program Aspirasi Kepulihan Keluarga diadakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyalahgunaan dadah dan substans terlarang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan