KUCHING, 14 Ogos : Penyanyi veteran Iban, Winnie Albert, sedang hangat diperkatakan dalam sosial media selepas seorang warganet memuat naik video beliau menyanyikan lagu Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin, ‘Percayalah’.
Video nyanyiannya di Rumah Asap Tabuan Dayak pada malam Jumaat, yang telah dikongsikan oleh rakan pemuzik Dayak, Dino, telah memukau pengguna sosial media malah mendapat puluhan ribu ‘like’ dan reaksi sepanjang malam.
Malah, video berdurasi lebih empat minit itu turut memukau komposer terkenal Malaysia, Ajai.
Menurut Ajai, Winnie telah membawa suara dan nada yang bagus dengan ‘pitch’ yang sempurna untuk menjadikan keseluruhan lagu itu sempurna dan senang didengari.
Artis lain yang turut terpukau dengan nyanyian Winnie termasuk pelawak terkenal, Harith Iskander, yang malah telah menawarkan kepada Winnie untuk membuat persembahan besar di Kuala Lumpur nanti.
“Saya tidak pernah tahu awak siapa, tetapi kamu layak untuk diberi bintang, selain mengingatkan saya kepada arwah Adibah Noor,” kata Harith dalam Instagram miliknya.
Sebelum ini, TVS pernah menjemput Winnie untuk muncul dalam program ‘Panggau Kitai’ dan ‘Konsert Berkat Gawai’ yang telah mendapat sambutan hangat daripada peminatnya. – TVS