DARO, 14 Ogos : Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, memberi amaran tentang wujudnya ‘musuh dalam selimut’ yang boleh merosakkan perpaduan di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan datang.
Menurutnya, walaupun segelintir pihak menganggap perpaduan sebagai perkara remeh, beliau menegaskan perpaduan yang sedia ada tidak dicapai dalam tempoh setahun dua tetapi dibina oleh pemimpin terdahulu yang diteruskan oleh pemimpin terkini.
“Semasa pilihan raya, kita akan sentiasa berdepan dengan parti pembangkang, tetapi ini adalah musuh yang kita boleh lihat, dan kita akan dapat berdepan dengan mereka pada bila-bila masa.
“Musuh paling bahaya adalah ‘musuh dalam selimut’ kerana mereka ada dalam kalangan kita, tetapi kita tidak dapat tahu siapa mereka.
“Jadi bagi mereka ini, saya ingin menasihati mereka supaya tidak ‘bermain dengan api’ atau mereka mungkin membakar diri,” katanya pada Majlis Penangguhan Pesta Daro di sini hari ini.
Beliau turut berkongsi pengalaman selama menjadi Ahli Parlimen di barisan pembangkang dalam Dewan Rakyat selama 22 bulan pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan dahulu, beliau rasa begitu sukar, malah merasakan bahawa Sidang Dewan Rakyat umpama sesuatu yang sia-sia.
“Saya bercakap di Dewan Rakyat seolah-olah saya bercakap dengan dinding. Banyak projek pembangunan di Sarawak, termasuk di Igan, seperti Jambatan Batang Igan, telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan ketika itu.
“Sebab itu, saya tegaskan perpaduan amat penting dalam menghadapi pilihan raya umum yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” tambahnya. – TVS