BUKIT MERTAJAM, 14 Ogos : Sebanyak 4,168 ekor burung gagak yang merupakan haiwan perosak dilupuskan menerusi kaedah menembak di beberapa kawasan di negeri ini semalam.
Antara kawasan di mana Operasi Crow Sharpshooter (Ops Cross MBSP) 2022 itu dijalankan adalah Seberang Jaya, Taman Pauh Indah, Bandar Perda, Taman Inderawasih, Taman Kota Permai dan Taman Sri Rambai.
Operasi selama kira-kira 11 jam itu, yang membabitkan seramai 63 penembak yang memiliki permit, berakhir pada jam 7.00 malam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad, berkata operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima 403 aduan kacau ganggu gagak sejak 2019.
Menurutnya, burung itu membiak dengan cepat jika tidak dikawal dan mempunyai sumber makanan selain menghasilkan bunyi kuat, terutamanya ketika berkumpulan, sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk.
“Ia memakan hasil tanaman, buah-buahan, cacing, serangga, siput, telur burung lain, ikan dan bangkai binatang yang mati di jalanan.
“Gagak di kawasan bandar pula mempunyai tabiat menyelongkar tong sampah dan kawasan pembuangan sampah selain mencemari persekitaran dengan najis,” Azhar memberitahu dalam satu kenyataan pada hari ini.
Beliau menambah, ia merupakan aktiviti kawalan rutin yang dibuat dua kali setahun selepas 76 peratus daripada responden di Seberang Perai bersetuju agar majlis bandaraya menjalankan operasi tersebut.
Menurut kenyataannya lagi, operasi itu menawarkan insentif RM5 bagi setiap ekor gagak yang dilupuskan selain pemberian trofi Anugerah Penembak Terbaik kepada peserta. – TVS