KUCHING, 11 Ogos : Sarawak terbuka untuk menerima rangka tindakan bagi mempromosikan inovasi di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ke arah ekonomi berteraskan sains dan teknologi baharu, Sarawak turut tidak terkecuali kerana perlu menyediakan bakat masa hadapan di negeri ini yang dapat menguasai inovasi.
“Seterusnya kita (memerlukan) pelan tindakan untuk berkembang.
“Oleh itu, saya berharap agar Seminar Sains, Teknologi dan Inovasi : Policies, Facilities and Way Forward For Sarawak yang sedang berlangsung di sini dapat mewujudkan rangka kerja berkaitan supaya kita dapat mempromosikan budaya inovasi dan seterusnya memudahkan proses ini di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan seminar itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya Dr. Annuar Rapaee.
Sementara itu beliau berkata, penguasaan ilmu sains, teknologi dan inovasi (STI) penting bagi memacu sosio ekonomi negara selepas pandemik COVID-19 kelak.
Katanya, rakyat perlu menyesuaikan diri dalam bidang berkenaan kerana inovasi boleh memacu pembangunan dan seterusnya memanfaatkan rakyat dan negara.
“Saya percaya bahawa seminar ini tepat pada masanya kerana akan menjadi platform untuk berbincang serta membuktikan bagaimana sains, teknologi dan inovasi amat penting dalam kita menangani cabaran pada masa kini,”katanya. -TVS