KUCHING, 11 Ogos : Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri Sarawak bakal diadakan di Bahagian Betong pada 31 Ogos nanti.
Jawatankuasa Induk sambutan perayaan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak memaklumkan majlis perhimpunan bagi sambutan itu akan diadakan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.
Antara tetamu kerhormat yang dijadualkan hadir pada acara itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pengisian sambutan tahun ini akan dimulakan dengan Program Konsert Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos. Konsert itu akan menampilkan persembahan hiburan seperti nyanyian artis popular tempatan, tarian tradisional dan kontemporari dari Majlis Seni Sarawak.
“Pada keesokan harinya, acara kayuhan basikal Unity Ride sejauh empat kilometer sekitar bandar Betong bakal disertai tetamu kenamaan dan komuniti dari pelbagai peringkat masyarakat,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.
Flag-Off kayuhan tersebut dijangka bermula 8 pagi dari Kompleks Sukan Betong dan tamat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, diikuti majlis perhimpunan pada 10 pagi.
“Kira-kira 1,000 jemputan bakal hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Peralihan Endemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.
Tema sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada kali ini ialah ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.-TVS