SARIKEI 11 Ogos : Tindakan pemilik sebuah rumah menyimpan sebanyak 600 kilogram (kg) minyak masak paket 1kg bernilai RM1,500 di Jalan Jelutong Barat, di sini terbongkar selepas diserbu oleh pihak berkuasa semalam.
Â
Menerusi serbuan oleh sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan polis, sebanyak 30 kotak minyak masak dengan berat 20 kg setiap satu dirampas.
Â
Ketua Cawangan KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, rampasan dibuat kerana pemilik premis disyaki menyimpan minyak masak paket di permis kediaman yang tidak dilesenkan.
Â
“Operasi bersama polis dilaksanakan bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran.
Â
“Di samping itu, kita mahu membanteras aktiviti penyelewengan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang menyorok barang kawalan,” katanya menerusi kenyataan media.
Â
Beliau berkata, KPDNHEP memberi amaran keras kepada individu dan syarikat agar tidak terbabit melakukan aktiviti penyelewengan atau menyorok barang kawalan.
Â
“Individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta,” katanya. -TVS