Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto:Bernama

Anak syarikat BPB teroka pasaran tanaman komersial berpandukan teknologi, mampan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Anak syarikat Boustead Plantations Bhd (BPB), Boustead Agro Plantations Sdn Bhd telah menandatangani Dokumen Persefahaman (DoU) dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) bagi meneroka pasaran tanaman komersial berpandukan teknologi dan mampan.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata DoU tersebut mewujudkan kerjasama di antara kedua-dua pihak untuk memulakan dan membangunkan projek tanaman komersial iaitu cili dan halia secara siap guna melalui penggunaan sistem fertigasi pintar dan pertanian pintar Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Usaha ini menandakan langkah pertama BPB untuk memanfaatkan sumber pasaran pertanian lain selain daripada perniagaan perladangan sawit huluan sedia ada.

“Ia juga memerlukan komitmen BPB untuk mengusahakan tanaman komersial di atas tanahnya, manakala PPKKL akan menyediakan kepakaran teknikal, bimbingan dan latihan bagi memastikan penanaman itu membuahkan hasil,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif BPB Zainal Abidin Shariff berkata pembabitan syarikat itu dalam perniagaan tanaman komersial membuktikan kesungguhannya untuk membantu kerajaan dalam menangani isu sekuriti makanan di Malaysia.

Katanya, ia juga seiring dengan komitmen syarikat terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang kedua iaitu sasaran untuk mencapai sifar kelaparan menjelang 2030.

“Berpandukan strategi Penciptaan Semula Boustead, matlamat utama kami adalah untuk mencapai pertumbuhan yang mampan bagi tempoh jangka panjang dengan mematuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

BPB adalah antara syarikat perladangan sawit huluan paling berpengalaman dan kukuh di Malaysia dengan pemegang saham utama yang terdiri daripada Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan