SIBU, 9 Ogos: Kerajaan digesa mempercepatkan kelulusan bagi Unit Pemadam Kebakaran Sukarela untuk Igan.
Gesaan ini dibuat oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, kerana Igan terletak jauh dari Balai Bomba terdekat, iaitu di Mukah.
Menurutnya, anggota bomba dari balai tersebut mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai ke kawasan Igan.
“Saya telah membangkitkan perkara itu pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen sebelum ini.
“Saya akan berbincang lagi dengan Menteri atau Timbalan Menteri berkaitan sekali lagi apabila beliau melawat Daro pada 20 Ogos kerana perkara ini sangat mendesak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pedun Likew Igan pada malam Isnin.
Ahmad Johnie turut menjelaskan bahawa kebanyakan rumah tradisional Melanau di Igan diperbuat daripada bahan kayu, dan jika kebakaran berlaku, ia akan musnah dalam tempoh kurang 20 minit.
“Saya tidak boleh menyatakan bila permohonan itu akan diluluskan tetapi kita akan cuba mempercepatkannya.
“Sementara menunggu kelulusannya, salah satu alternatifnya adalah dengan melengkapkan setiap rumah di Igan dengan alat pemadam api.
“Ini sama seperti yang kita lakukan untuk rumah panjang di kawasan sekitar, di mana mereka telah diberikan kemudahan sedemikian,” katanya. – TVS