TAWAU, 9 Ogos : Seorang bapa hanya mampu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu anaknya Nur Aliesyah Delisha, 2, yang akan menjalani pembedahan klef bibir dan lelangit di Hospital Tawau.
Mahmud Hatuk, 33, yang pada awalnya berdepan kesukaran memikirkan kos rawatan berikutan status kewarganegaraan anaknya yang belum ditentukan kini mampu menarik nafas lega kerana tarikh pembedahan telah ditetapkan.
Kos rawatan pembedahan dibiayai badan bukan kerajaan (NGO) Rotary Club Tawau Tanjung yang telahpun bekerjasama dengan pihak Hospital Tawau sejak tahun 2018.
“Pada awalnya kos rawatan memang jadi masalah tetapi kami akan usahakan juga agar Aliesyah dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain tetapi syukur Alhamdulillah kami kemudian diberitahu kos rawatan ini akan dibantu Rotary Club Tawau.
“Terima kasih bantu kami, terima kasih bantu Aliesyah. Ini akan beri sinar harapan kepada Aliesyah,” katanya yang hanya berniaga secara kecil-kecilan di Kunak.
Mahmud berkata, dia dan isterinya berdoa setiap hari agar anak mereka dapat menjalani rawatan dan pembedahan sejak dari mula dikesan berhadapan masalah itu.
Mengenai status kewarganegaraan anaknya, Mahmud berkata masalah beraku apabila dia yang merupakan warga tempatan dan isterinya warga Filipina belum memiliki sijil pernikahan.
Nur Aliesyah Delisha adalah antara 24 kanak-kanak yang terlibat dalam Program Mass Cleft Surgery Initiative 2022 di Hospital Tawau.
Melalui program itu kanak-kanak yang sebelum ini tertunggak kes rawatan kerana berlakunya pandemik COVID-19 akan menjalani pembedahan di Hospital Tawau bermula 9 sehingga 12 Ogos ini. – TVS