KUCHING, 9 Ogos: Sektor pendidikan Sarawak akan terus bergerak maju ke hadapan dengan program intensif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata dengan peranan yang dimainkan oleh pihak kementerian dan guru-guru, sektor pendidikan di Sarawak akan terus membangun.
Justeru katanya pandangan yang menyatakan bahawa sektor pendidikan mendatar di negara ini tidak berlaku di Sarawak.
“Sektor pendidikan di Sarawak adalah tidak mendatar dan sentiasa bergerak maju disebabkan program yang kita laksanakan,
“Semua tenaga pengajar yang dilantik untuk membangunkan program pendidikan adalah pakar dalam bidang masing-masing.
“Maka mereka tahu impak positif setiap program tersebut kepada anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin yang menyifatkan sektor pendidikan di Malaysia adalah mendatar dan memerlukan transformasi.
“Setiap program yang dianjurkan memberikan manfaat kepada pelajar untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Sarawak.” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Dwibahasa Sarawak 2022 bagi guru tahun 3 di sini hari ini.
Radzi pada Isnin menyatakan bahawa Malaysia perlu menjalani transformasi pendidikan agar setanding dengan negara maju ketika berucap dalam Forum Transformasi Pendidikan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, transformasi yang dijalankan bukan sahaja melibatkan pemansuhan peperiksaan tetapi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara lebih kreatif dan inovatif.- TVS