KAPIT, 9 Ogos : Masyarakat pedalaman khususnya di Kapit digesa untuk turut serta dalam sektor ekonomi digital yang sedang dicorak kerajaan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sektor tersebut bakal membantu ekonomi komuniti pedalaman dan seterusnya mengubah lanskap masa depan ekonomi negeri ini.
Menurutnya jurang digital antara bandar dan luar bandar kini semakin rapat, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Ekonomi digital adalah untuk semua rakyat Sarawak, ia merupakan sektor baru yang dibangunkan untuk mencapai status wilayah maju menjelang tahun 2030.” kata Abang Johari dalam teks ucapan disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi sempena Majlis Pelancaran Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) di Ulu Yong di sini hari ini.
Tambahnya, masyarakat luar bandar kini mampu memperkasakan ekonomi dengan melibatkan diri dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) secara dalam talian.
“Dengan adanya internet, masyarakat luar bandar di Sarawak akan diberi platform untuk mengembangkan sosioekonomi.
“Hal ini akan membuka skop yang lebih luas bagi komuniti pedalaman untuk menjadi usahawan yang berjaya dan seterusnya mengubah lanskap masa depan ekonomi Sarawak,” katanya.
Dalam masa yang sama, Abang Johari menjelaskan pelajar dan guru di kawasan pedalaman akan dapat menikmati manfaat akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.
Ini kerana katanya sebanyak 14 menara telekomunasi telah siap dibina dan dipasang di Kapit di bawah Projek SMART Fasa 1.
Mengulas mengenai projek tersebut, Pengerusi Perbadanan Digital Ekonomi Sarawak (SDEC) Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata Ulu Yong kini berpotensi untuk menjadi destinasi perniagaan.
“Kami berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak secara positif dengan mengambil bahagian dalam ekonomi digital bagi meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang Dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit dan Menteri Muda Elektrik Dan Luar Bandar, Datuk Liwan Dagang.- TVS