Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: TVS

Muzium Budaya Borneo terus dapat sambutan pengunjung

 
KUCHING, 9 Ogos: Sambutan pengunjung ke Muzium Budaya Borneo amat memberangsangkan sehingga berupaya merekodkan jumlah yang mencecah angka seribu sehari.
 
Jumlah itu meningkat dua kali ganda pada hujung minggu walaupun muzium tersebut baharu sahaja mengenakan bayaran kemasukan kepada pengunjungnya pada 1 Ogos lalu.
 
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata, situasi itu adalah di luar jangkaan dan menyifatkannya sebagai satu petanda baik.
 
“Kalau kita lihat secara purata, kutipan yang diperoleh daripada hari pertama hingga hari ini (8 Ogos) lebih kurang sepuluh ribu sehari.
 
“Situasi ini adalah sesuatu yang saya juga tidak jangka dan ia merupakan satu petanda yang sangat baik,” katanya.
 
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan restoran Muzium Budaya Borneo di Kuching.
 
Menurutnya, sesuai dengan konsep muzium itu yang menerapkan unsur-unsur kebudayaan, pameran berkaitan setiap etnik di Sarawak menjadi tarikan utama pengunjung.
 
Menerusi maklum balas yang diterima, pameran yang mempunyai kaitan dengan budaya etnik di negeri ini sering kali menjadi tarikan utama bagi pengunjung ke muzium tersebut.
 
Justeru, beliau tidak mahu ada unsur kebudayaan suku kaum atau etnik di Sarawak yang tertinggal daripada dipamerkan.
 
“Sedikit sebanyak apabila kita membuat cara begitu, kita dapat memuas hati atau membuatkan setiap masyarakat atau kaum di Sarawak ini gembira dan ini salah satu kaedah menyatukan kita semua.
 
“Secara dasarnya, ini merupakan tujuan utama kita memiliki Muzium Budaya Borneo ini iaitu bagi mencerminkan setiap keunikan budaya setiap entik yang terdapat di Sarawak ini,” katanya.
 
Mengulas mengenai kompleks Muzium Budaya Borneo, Abdul Karim berkata, ia mempunya ruang yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan sewaan kepada pempamer luar untuk mempamerkan koleksi mereka.
 
Dengan kemudahan ini, muzium itu dapat menjana pendapatan tambahan selain daripada bayaran kemasukan yang dikenakan kepada pengunjung.
 
Tambahnya, untuk pembukaan Muzium Sejarah Semula Jadi, ia dijangka akan dapat dilakukan dalam tempoh 18 bulan akan datang.
 
Walaupun bangunan tersebut sudah siap dibaik pulih sepenuhnya, namum pengisian bahan pameran dalam muzium itu memerlukan sedikit masa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan